Aidil Adha atau hari raya korban ini sebenarnya lebih besar ertinya dan lebih tinggi nilai darjatnya berbanding dengan Aidil Fitri. Sejajar dengan kedudukan itu, masa bertakbir dipanjangkan bermula dari malam hari raya sehinggalah ke hari raya yang keempat, iaitu hari ketiga belas Zulhijjah yang dinamakan hari-hari tasyrik. Di samping bertakbir, ummat Islam melaksanakan ibadah korban pada hari-hari tersebut.
Hari Raya Aidil Adha ini tidak dapat dipisahkan daripada ibadah korban. Ibadah korban ini adalah kemuncak takwa kepada Allah Taala. Hari ini yang sebenarnya kita merayakan ulang tahun pelancaran gerakan tahunan korban. Gerakan ini telah dimulakan sejak ribuan tahun dahulu dan dimulakan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. khalilullah. Ia bermula dengan pergorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s. ketika Baginda hendak menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Inilah pengorbanan teragung dalam sejarah manusia. Telah diketahui bahawa Nabi Ismail adalah anak kesayangan nabi Ibrahim dan Baginda mendapat anaknya ini dalam usia yang telah lanjut. Tetapi bila diperintahkan oleh Allah s.w.t. supaya mengorbankan anaknya ini, Nabi Ibrahim telah bersedia melaksanakan tugas ini dan Nabi Ismail pula penuh kerelaan dan sabar menurut perintah Allah s.w.t. ini.






