Bermain dengan perasaan…..
Segalanya berlalu dalam sekelip mata. Tanpa aku sedari, masa telah berjalan dengan pantas. Aku juga tahu permohonan yang aku buat menggunakan SPM yang lalu telah menerima maklum balas. Aku diterima untuk sambung belajar di sebuah institusi namun aku abaikan juga kerana aku juga rasa apa gunanya aku ada STAM tapi aku tidak menggunakannya. Oleh itu, aku mengharapkan juga permohonan aku melalui STAM menerima maklum balas yang baik.
Namun, dalam aku menunggu ini, aku selalu bayangkan bagaimana agaknya kalau aku belajar di Universiti Al-Azhar itu. Walaupun sebelum ini aku selalu juga mendengar kisah ustaz-ustaz aku dan senior-senior aku yang belajar di sana, tapi waktu itu hanya mendengar sekadar suka dan tiada keinginan untuk ke sana. Tapi, di kala waktu ini, aku merasakan sesuatu kelainan dalam mainan perasaan aku. Andai aku mengimbau kembali cerita-cerita mereka itu, aku seperti tertambat dengan jambatan perasaan yang menghubungkan aku di sini dan hujungnya di sana. Sedikit demi sedikit, lahir akan keinginanku untuk ke sana.
Jujur aku katakan, aku cemburu dengan A’at. Apatah lagi Sufian (seorang senior aku yang menampal STAM sama tahun dengan aku – kiranya dia lulus STAM dia kali ini) pun ingin sambung belajar ke sana juga. Kiranya kami bertiga saja dari sekolah kami tahun ini yang layak sambung belajar ke Al-Azhar (itupun sekiranya mahu). Huhh!! Dua-dua juga Singaporean dan dua-dua juga nak ke sana. Macam dah berpakat je…ecehh! Tapi itulah semangat mereka berdua. Semangat untuk belajar di sana. Dan semangat inilah yang aku cemburukan.
Dalam diam, semangat mereka juga membangkitkan keinginan aku untuk ke sana juga. Walaupun begitu, aku tak yakin, adakah keinginan aku ini sebenarnya hanya mengikut-ikut? Atau adakah aku ini hanya ingin menunjuk bahawa aku juga tidak boleh kalah dengan mereka? Mainan perasaan ini sering memusingkan dan memeningkan kepala aku sendiri. Bertambah lagi dengan keyakinan diriku yang sentiasa goyah. Bertambah lagi dengan sifat aku yang aku kira sebagai satu kelemahan aku – sukar untuk membuka mulut berkongsi masalah dengan orang lain dan hanya memendam masalah tersebut dalam diri sendiri. Huhh!! Menambahkan kerunsingan aku sendiri.
Walaupun begitu, akhirnya aku tetap datang juga ke pertemuan kedua di Maahad Johor bagi menyerahkan borang, wang dan keperluan-keperluan lain yang diminta bagi memohon kemasukan ke Universiti Al-Azhar. Terima kasihlah kepada mak dan ayah yang aku rasa lebih banyak menguruskan benda ini daripada aku. Maaf atas kelembapan anakmu ini. Dan terkadang sebenarnya, aku seperti keliru juga. Mak ayah seperti bersungguh-sungguh dan sanggup juga datang ke Maahad Johor kerana benda ini. Tapi mak juga seperti beria-ria menyuruh aku memohon dalam negara juga. Aku keliru kerana mak hendak aku belajar di mana sebenarnya? Ekh2…aku ini mempersoalkannya pula. Seharusnya aku berterima kasih atas usaha mak ayah itu untuk aku. Sedangkan aku ini pula seperti orang yang tiada hala tuju.
A’at dan Sufian (Yan) juga tumpang gembira bila mendengar aku juga hendak ke sana. Kata Yan “dapatlah kita belajar sama-sama lagi”. Aku hargai kata-katanya itu. Tapi aku masih takut dengan diri aku sendiri. Betulkah aku ini hendak ke sana atau sekadar mengikut-ikut sahaja? A’at dan Yan memang dari awal sudah ingin ke sana. Tapi aku ini pula secara tiba-tiba nak ke sana. Terkadang seperti musykil dengan diri aku sendiri. Ya Allah! Semoga benar niatku!
Selepas segala urusan itu selesai, aku banyak meluangkan masa dengan A’at dan Yan. Macam-macam yang mereka rancangkan untuk ke sana dan di sana. Semangat betul mereka ini. Aku pula hanya boleh mengiakan saja. Bila diminta pendapat, tiada sebarang apa pun yang aku boleh berikan kerana ia kosong dalam kepala aku. Tapi aku sangat berterima kasih kepada mereka. Sedikit sebanyak, A’at dan Yan memberi aku semangat juga. Aku sangat bersyukur dengan jalinan persahabatan yang terbina ini. Aku seorang yang memang payah bila sampai kepada tentang sosial dengan orang yang aku belum rapat dan kenal. Jadi aku memang kena mengharapkan bantuan mereka berdua sekiranya di sana memandangkan mereka berdua ini lebih senang beramah mesra dengan orang lain.
Apa-apa pun, semuanya berjalan dengan lancar sahaja buat masa ini. Cuma kena tunggu berita lain daripada Ustaz Ariff di Maahad Johor yang menguruskan semua ini.
Dan dalam tempoh ini juga, aku menerima maklum balas dari permohonan melalui STAM aku. Yiek? Aku tak dapat sambung ke mana-mana? Tiada satu pun yang menerima permohonan aku? Bila cuba selidik, aku rasa kemungkinan ada beberapa kesalahan dalam permohonan aku dahulu. Nak buat apa lagi pun dah malas waktu ini. Aku pun tengok pengurusan yang dilakukan oleh Ustaz Ariff pun tiada masalah dan berjalan lancar. Jadi, inilah pilihan aku akhirnya.
Aku ingin dan akan pergi menyambung pengajianku di Universiti Al-Azhar! InsyaAllah!
No related posts.
Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.
Tags: al-azhar, cairo, kaherah, maahad johor, road to al-azhar, stam, universiti al-azhar
